5 langkah membuat pembelian komputer agar anda tidak menyesal

1
870
Computer brochures
Computer brochures

Sejak kebelakangan ini, ramai juga yang bertanya tentang membuat pembelian komputer.

Oleh sebab itu, di sini saya kongsikan pengetahuan saya berkenaan pembelian komputer di sini agar anda boleh memilih komputer yang betul.

Panduan ini adalah untuk membolehkan anda memilih komputer yang sesuai dengan peruntukan (bajet) anda, dan pada masa sama memenuhi kehendak kerja anda.

Komputer yang saya terangkan disini adalah untuk kerja pejabat dan juga pembelajaran secara dalam talian.

Jika anda membuat pembelian komputer untuk bermain permainan (gaming), penerangannya lebih teknikal dan akan melibatkan pembelian kad grafik.

Langkah 1: Kenalpasti peruntukan anda

Peruntukan yang anda ada untuk membeli sebuah komputer adalah penting.

Biasanya, saya mencadangkan peruntukan sekitar RM2,000 sehingga RM3,500 untuk sebuah komputer (khususnya laptop).

Sebarang peruntukan lebih dari RM3,500 adalah komputer akan mendapatkan komputer yang lebih berkuasa dan lebih ringan tetapi anda masih perlu tahu komputer apa yang anda inginkan.

Peruntukan dari RM2,000 akan membenarkan anda membeli komputer yang boleh digunakan untuk kerja – kerja pejabat (seperti MS Words, MS Excel, MS Power Point, Google Meet, Google Classroom), dan pada masa sama juga membenarkan anda melakukan kerja – kerja asas seperti membuat video dan juga melakukan kerja grafik mudah.

Ukur baju di badan sendiri. Kenal pasti berapa harga laptop yang anda mampu.

Peruntukan di bawah RM2,000 akan menyaksikan anda hanya dapat membeli komputer yang lemah, dan ini kadang kala akan mengecewakan anda apabila anda mahu melakukan tugasa yang lebih ‘berat’ seperti mengedit gambar (menggunakan Photoshop) atau membuat video dengan perisian pengeditan video.

Komputer bawah RM2,000 mungkin sesuai untuk anak – anak untuk PdPR di rumah bagi melaksanakan kerja biasa sahaja.

Akan tetapi, bagi saya, komputer yang berharga di bawah RM2,000 biasanya adalah model lebih lama, lebih berat, lebih besar dari segi saiz, dan menggunakan RAM dan processor yang lebih lemah atau lama.

Ini sekaligus akan menyaksikan komputer anda cepat lapuk, dan sebelum anda tahu, anda sudah terpaksa membeli komputer baharu. Membazir, kan?

Pada hemah saya, komputer sepatutnya boleh bertahan sekurang – kurangnya tiga hingga lima tahun sebelum anda perlu mebuat penggantian kepada yang baharu.

Langkah 2: Kenalpasti kegunaan komputer sebelum membuat pembelian

Sebelum membeli komputer, anda mesti tahu bagaimana anda ingin menggunakan komputer tersebut.

Penggunaan komputer di sini bermaksud apakah hajat yang mahu dipenuhi apabila anda menggunakan komputer tersebut.

Komputer untuk memproses video dan grafik perlulah lebih ‘power’ seperti komputer dengan processor (unit pemproses) Intel i5, Ryzen5, Intel i7, Ryzen 7 dan Intel i9.

Jika ada sebutan pasal ‘core’, maka ketahuilah, lebih banyak core, lebih berkuasalah processor tersebut.

Kenalpasti cara laptop akan digunakan sebelum membuat pembelian

Komputer yang hanya digunakan untuk kegunaan bahan pejabat seperti menaip dan menonton video (serta Google Meet/Zoom) boleh dikategorikan sebagai komputer jenis rendah dan sederhana.  Di sini, penggunaan komputer jenis Intel Pentium, Intel i3, dan Ryzen 3 sudah memadai.

Saya tidak menggalakkan pembelian Intel Celeron kerana ianya tidak cukup ‘kuat’.

Pembelian komputer yang mempunyai skrin sesentuh (touch screen) juga saya tidak galakkan kerana ianya akan menaikkan harga komputer tersebut dan fungsi skrin tersebut agak terhad.

Sebaiknya, komputer anda harus mempunyai sekurang – kurangnya storan (Hard disk) HDD 512GB dan RAM 4GB untuk kerja – kerja biasa.  Bagi pemprosesan video dan gambar, penggunaan storan jenis SSD dan RAM lebih 8GB amat digalakkan.

Jika anda diberi pilihan untuk oleh peniaga untuk ‘upgrade’ komponen komputer anda, sentiasa pilih untuk menambah RAM.

Perbezaan komputer dengan RAM bernilai 4GB dengan yang berkapasiti 8GB adalah amat ketara.

Langkah 3: Fikirkan keboleh-bawaan komputer tersebut

Satu lagi yang anda perlu ambil kira adalah keboleh-bawaan komputer tersebut.

Jika anda mahu membawa komputer tersebut ke sana dan kemari dengan mudah, pembelian laptop dibawah 1.8kg adalah amat digalakkan.

Laptop yang lebih berat daripada itu akan terasa sebagai satu ‘beban’ apabila anda terpaksa membawanya selalu. – Ingat, apabila anda membawa laptop, anda juga kadang – kadang akan membawa buku, blok pengecas laptop (kabel) tersebut dan juga tetikus.  Ini akan menjadikan berat beg anda bertambah jika termasuk laptop! – Sanggup bawa beg 3kg ke hulu dan hilir?

Komputer yang ingin dibawa ke sana dan kemari seharusnya ringan

Jika anda sanggup meninggalkan komputer tersebut di rumah atau pejabat, pembelian desktop boleh dilakukan.

Untuk guru dan pelajar, saya lebih menggalakkan pembelian laptop memandangkan ianya boleh dibawa ke sekolah dan rumah dengan mudah.

Langkah 4: Pertimbangkan jenama & warranti

Sebenarnya, jenama tidak memainkan peranan yang besar di dalam pembelian sebuah komputer.

Yang penting adalah waranti yang dibekalkan kerana anda perlu mengetahui lokasi untuk meghantar komputer anda sekiranya ianya rosak.

Sebaiknya, jenama komputer yang anda beli seharusnya mempunyai pusat servis di bandar terdekat dengan anda bagi memudahkan anda mendapatkan waranti sekiranya perlu.  Ini adalah sama jika anda membeli secara dalam talian melalui Shopee atau Lazada. – Ketahui pusat servis jenama tersebut sebelum anda membeli komputer tersebut.

Jenama – jenama laptop.

Sungguhpun demikian, saya secara peribadi mencadangkan jenama ASUS, Acer, Lenovo dan Huawei jika anda membeli laptop.

Bagi komputer jenis desktop, saya lebih suka komputer klon (atau komputer yang dipasang komponennya mengikut keperluan).

Saya mencadangkan kedua – dua jenama tersebut kerana ianya mempunya daya tahan yang lebih baik berbanding jenama lain.

ASUS pada hemah saya adalah jenama terbaik pada masa kini kerana baterinya biasanya boleh tahan lama, dan ianya juga tidak meletakkan terlalu banyak perisian tidak berguna (bloatware) di dalam laptop yang dijualnya.  Masalahnya, ASUS juga lebih mahal.

>> Lihat pilihan laptop Asus: Lazada | Shopee

Lenovo juga merupakan jenama yang baik dengan bateri yang tahan lama. Ianya sama seperti ASUS, dengan harga lebih rendah. Sungguhpun demikian, jika spesifikasi laptop sama, Lenovo pada hemah saya lebih berat dan besar jika dibandingkan dengan ASUS.

>> Lihat pilihan laptop Lenovo: Lazada | Shopee

Acer pula murah dan ketahanannya baterinya adalah hampir sama dengan ASUS.  Masalah dengan ACER pada hemah saya adalah pada perisian yang tidak berguna (bloatware) yang banyak dimasukkan ke dalam komputer tersebut.

>>Lihat pilihan laptop Acer: Lazada | Shopee

Huawei juga mempunya siri laptop yang premium.  Bloatware di dalam laptop Huawei adalah minima, dan bateri Huawei juga tahan seperti Asus. Masalah laptop Huawei adalah ianya lebih kepada versi premium, dan ini sekaligus menyaksikan harganya juga agak mahal.

>> Lihat pilihan laptop Huawei: Lazada | Shopee

Jenama – jenama lain yang saya tidak sebutkan biasanya mempunyai bloatware yang banyak, dan bateri yang kurang tahan, jadi saya tidak mencadangkan jenama tersebut.

Sungguhpun demikian, pembelian laptop berdasarkan jenama adalah juga satu ‘nasib’ kerana ada laptop berjenama juga mempunyai masalah walaupun ianya tidak dialami orang lain.

Langkah 5: Beli online atau pergi ke kedai?

Sememangnya pembelian secara dalam talian akan memberi anda banyak pilihan dengan harga yang lebih murah.

Sunggupun demikian, saya merasakan pembelian komputer adalah seperti pembelian pakaian.

Sebagai pengguna, saya lebih suka melihat dan memegang komputer tersebut dahulu dan melihat lokasi lokasi ‘ports’-nya, adakah ianya sesuai dengan berat yang saya inginkan, dan bagaimana pengaliran haba dibuat oleh komputer tersebut.  Saya juga suka meneliti bahan binaan laptop tersebut kerana laptop yang dibina dengan besi atau aluminium lebih sejuk dari yang menggunakan plastik.

Oleh itu, anda hanya harus membeli komputer tersebut sekiranya anda sudah pasti ianya sesuai dengan anda.

Pembelian dalam talian hanya digalakkan sekiranya anda arif dengan komputer, dan anda yakin dengan pembelian yang anda akan buat.

Kesimpulan

Saya berharap tips yang saya kongsikan di atas akan membanu anda membeli komputer yang sesuai bagi keperluan anda.

Jika anda ada lebih persoalan berkenaan membuat pembelian komputer, jangan segan bertanya kepada saya dengan menghubungi saya di Facebook, Twitter atau Youtube.

Saya juga ada berkongsi tips lain seperti cara menggunakan WhatsApp dengan lebih berkesan.

Tentang perkongsian pendidikan

Perkongsian di sini khusus untuk dua matapelajaran Asas Sains Komputer Menengah Rendah (Tingkatan 1 – 3) dan mata pelajaran PVMA – PPU (Penyejukan dan Penyamanan Udara).

Kedua – dua mata pelajaran ini adalah matapelajaran utama yang diajar oleh saya di sekolah.  Saya juga ada berkongsi tips dan tutorial yang saya rasakan boleh memanfaatkan pembaca laman saya ini.

Kategori Pendidikan (Education) laman ini dikemaskini dari masa ke semasa.

Kebanyakan bahan di laman ini dicipta sendiri, namun ada juga bahan yang diambil daripada sumber lain kerana ianya belum dibangunkan atau lebih baik daripada yang sedia ada.

Jika anda mahukan lebih tips, perkongsian dan info terkini berkenaan perkongsian saya, sila LIKE DAN FOLLOW saya di FACEBOOK.

1 COMMENT

  1. Satu rencana yang menarik dan mudah difahami daripada Cyril-sensei. Peluang kepada ibubapa atau individu yang masih keliru dalam membuat pembelian. Pembelian ini juga berguna daripada segi pelepasan cukai (gaya hidup) terutama sekali kepada yang berkaitan jika kerajaan masih mengekalkan pelepasan cukai tersebut untuk tahun 2021/2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.